Thursday 22 July 2010

Al-Qalam

Salam
Perkongsian bahan usrah malam semalam. Rujukan Tafsir fiZilal. Surat Al-Qalam ada 52 ayat. Catatan di bawah adalah untuk ayat 1-9.
ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ )
Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis
Allah bersumpah dengan pena dan tulisan untk menerangkan betapa besarnya nilai dan peranan pena dan tulisan.

Ayat menunjukkan galakan untuk mendapatkan kemahiran menulis di tengah-tengah umat yang belum cenderung untuk belajar menerusi kaedah ini.

Kemahiran ini penting supaya dapat memindahkan aqidah Islam dan sistem hidup islam yang ditegakkan atas dasar aqidah itu ke merata pelosok dunia.

مَا أَنتَ بِنِعْمَةِ رَبِّكَ بِمَجْنُونٍ
وَإِنَّ لَكَ لَأَجْرًا غَيْرَ مَمْنُونٍ
berkat nikmat Tuhanmu kamu (Muhammad) sekali-kali bukan orang gila.
Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya.

Dalam ayat pendek ini Allah menthabit nikmat nubuwwah dan sekaligus menafikan tuduhan jahat yang tidak sesuai dengan nikmat yang datangnya daripada Allah swt.

Tuduhan gila tersebut sebenarnya bercanggah dengan pemikiran dan pengetahuan mereka. Kaum kafir Quraisy tahu dan yakin akan sifat amanah, kebijaksanan dan budi pekerti yang tinggi nabi.

Oleh itu, Allah menjanjikan pahala yang tidak putus-putus buat Nabi sebagai hiburan dan ganti rugi terhadap tuduhan jahat kaum kafir Quraisy terhadap baginda.

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ
Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung


Sanjungan dan pujian ini datangnya daripada Allah SWT. Ia menunjukkan kehebatan baginda Rasulullah SAW. Ia sebagai pengiktirafan Allah kepada baginda Rasulullah SAW.

Ia juga menunjukkan ketinggian sakhsiah dan pekerti Rasullah kerana baginda tenang, tidak terumbang ambing serta tidak berlagak sombong dengan pujian agung ini. Pada masa kalau kita rujuk surah-surah lain seperti Surah Abasa, baginda juga turut tenang apabila menerima teguran daripada Allah SWT.

Sesungguhnya hakikat jiwa Rasulullah SAW adalah dari hakikat agama ini dan keagungan jiwa baginda adalah dari keagungan agama ini.

Ayat ini menjelaskan betapa mulianya unsur Akhlak dalam neraca ALlah.

Dalam mengkaji sirah Rasulullah SAW kita akan dapati
  • unsur akhlak yang begitu menonjol yang merupakan aqidah yang sebati dalam diri baginda
  • lunas undang-undang dan pendidikan yang didasari atas akhlak
  • dakwah yang agung dalam aqidah ialah pemurnian akhlak manusia
Rasulullah dibangkitkan untuk menegakkan Akhlak yg mulia -"sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia"

Neraca akhlak Islam bukan datangnya dari bumi; i.e. budaya, kebiasaan manusia. Ianya adalah neraca langit yang datangnya daripada Allah SWT.

فَسَتُبْصِرُ وَيُبْصِرُونَ
بِأَييِّكُمُ الْمَفْتُونُ
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maka kelak kamu akan melihat dan mereka (orang-orang kafir) pun akan melihat
siapa di antara kamu yang gila
Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah Yang Paling Mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya; dan Dia-lah Yang Paling Mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk

Allah mengetahui siapa yang benar dan siapa yang sesat. Malahan Allah melemparkan semula tuduhan itu kepada mereka. Allah janji hakikat perkara ini akan diketahui umum juga.

فَلَا تُطِعِ الْمُكَذِّبِينَ
وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ

Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah)
Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu)


Kemudian Allah dedahkan kepada Rasulullah hakikat sebenar perasan mereka. Mereka sebenarnya berada dalam keadaan goyah terhadap kepercayaan jahiliah mereka. mereka hanya berpura-pura berpegang teguh kepada ajaran mereka.

Tidak ada tawar menawar dengan kepercayaan jahiliah. Banyak peristiwa yang mencatatkan usaha tawar menawar oleh kamum musyrikin untuk memujuk nabi.

  • Rasulullah sedang mengerjakan awaf, tiba-tiba dihalangan oleh al-Aswad ibn Muttalib, Al-Walid ibn al-Mughirah, Umaiyah ibn Khalaf dan al-As ibn Wail al-Sahmi. Mereka mengajak baginda berpakat, di mana Baginda menyembah tuhan mereka dan mereka menyembah tuhan Baginda. Mereka merasionalkan Nabi bahawa sekiranya tuhan Baginda betul, maka mereka untung, dan jika tuhan mereka betul, baginda untung. Maka turunlah ayat dari surah Al-Kafirun menjawab tawaran mereka itu.
  • Peristiwa Utbah bin Rabiah yg mewakili pembesar kaum Quraisy datang berbincang dengan Nabi. Utbah bertanya:
  • sekiranya tujuan baginda untuk mencari kekayaan, maka mereka akan kumpulkan harta dan baginda akan jadi orang yg paling kaya antara mereka.
  • Sekiranya tujuan baginda mencari kemuliaan, mereka sanggup melantik baginda menjadi ketua mereka dan mereka akan merujuk nabi dalam semua perkara.
  • Sekiranya tujuan baginda untuk menjadi Raja, maka mereka akan melantik baginda menjadi Raja.
  • Sekiranya baginda sakit dirasuk Jin, maka akan berusaha mencari dukun sehingga baginda sembuh.
  • Selepas Utbah selesai berbicara, maka Nabi Muhammad SAW membaca ayat 1-6 daripada surah Fusilat.
  • Kemudian Utbah kembali kepada kaumnya dan menyatakan bahawa beliau telah mendengar ayat yang bukannya sajak dan juga jampi sihir. Beliau menegaskan kepada kaumnya bahawa, "wahai kaum Quraisy, ikutilah saya biarkanlah lelaki ini".

No comments: